Loading...

Patutlah “PASTI” jadi pilihan ibu bapa, pengarahnya kongsi kelebihan hantar anak di sini…

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Patutlah Pasti jadi pilihan ibu bapa, pengarahnya kongsi kelebihan hantar anak di sini

Loading...

KUANTAN- Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) antara institusi pendidikan awal kanak-kanak yang aktif di negara ini.

loading...

Pahang turut menerima ledakan perkembangan pusat asuhan berteraskan Islam ini apabila Jabatan Pasti Negeri Pahang ditubuhkan bagi menyelia 198 Pasti membabitkan 9,000 kanak-kanak.

Pasti yang dipelopori pembangkang, Pas menerima permintaan tinggi setiap tahun.

Justeru, satu pelan tindakan disusun sebagai persiapan untuk sesi persekolahan 2019.

Ikuti wawancara bersama Pengarah Pasti Pahang, Danial Abdul Aziz membicarakan mengenai perkembangan semasa pusat asuhan itu di negeri ini dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak seiring dengan pendidikan arus perdana.

Danial

Sejauh mana penerimaan ibu bapa di negeri ini terhadap pendidikan awal di Pasti?

Penerimaan ibu bapa amat baik berdasarkan permintaan di pusat ini setiap tahun.

Perkembangan ini sebenarnya bertitik tolak kepada keberkesanan kurikulum pendidikan awal yang lebih menekankan aspek rohani, jasmani, intelek dan emosi berlandaskan Islam. Setiap tahun, permintaan cukup tinggi.

Belum sempat kita promosi, pendaftaran yang diterima sudah penuh kouta.

Perkembangan ini juga satu cabaran kepada kami di pasti Pahang.

Apakah cabaran yang dimaksudkan?

Sudah tentu banyak cabaran yang kami terpaksa hadapi apabila berdepan peningkatan murid setiap tahun kerana melibatkan keperluan kepada penambahan pusat asuhan baharu, penambahan guru dan keperluan lain bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran dalam keadaan terbaik.

Kelas Pasti sedia ada tidak mampu menampung peningkatan itu dan kita tidak mahu kelas dalam keadaan sesak serta tidak selesa.

Kita juga kena fikir bebanan guru, jadi bilangannya juga perlu ditambah.

Sebab itu untuk 2019 kita meluluskan pembukaan 13 Pasti baharu dan cuba menaiktaraf Pasti yang daif supaya perjalanan pembelajaran lebih selesa dalam usaha meningkatkan prestasi murid.

Apa kelebihan atau keistimewaan kelas pra sekolah di Pasti?

Pasti Pahang dan juga di negeri lain, kita sentiasa memperkasakan kukurikulumnya supaya menepati keperluan pendidikan semasa dengan fokus kepada pembinaan sahsiah Islam sejak awal.

Pendekatan pembelajaran juga lebih holistik tanpa membebankan minda kanak-kanak sebaliknya lebih kepada gabungan antara belajar dan bermain sesuai dengan usia mereka.

Misalnya kurikulum murid 4 tahun sudah tentu berbeza dengan murid 5 atau 6 tahun namun kesannya, bila murid ini memasuki 6 tahun, mereka lebih ‘matang’ dan menguasai tahap asas bacaan al-Quran.

Sejak tahun lepas kita memperkenalkan kelas pra tahfiz dan program ini juga antara keistimewaan yang ada di Pasti.

Malah tahun ini, 228 murid menerima tauliah apabila berjaya menghafal surah pilihan untuk program itu.

Antara lain, kita juga ada Kurikulum Integrasi Pasti (KIP) bagi memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak mengikuti aktiviti di pusat ini selepas jam 12.30 tengah hari.

Bagaimana aspek kelulusan tenaga pengajarnya?

Allhamdulillah, guru Pasti mempunyai kualiti dan kemahiran tinggi dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Kita sentiasa menaik taraf kelayakan daripada sijil kepada Diploma Perguruan Pasti dari Institut Perguruan Pasti Malaysia.

Pada masa sama, guru juga diberi kursus berterusan bagi memantapkan kemahiran pengajaran.

Walaupun diploma itu tidak diiktiraf dalam pendidikan arus perdana namun guru Pasti sentiasa diintai pihak luar (swasta) kerana kemahiran tinggi dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Apakah perancangan bagi memantapkan Pasti Pahang?

Kita berhasrat membuka peluang kepada murid keperluan khas terutama kanak-kanak autisme bagi mengikuti pendidikan awal di Pasti di negeri ini.

Ke arah matlamat ini, Pasti Pahang kini sudah mula meneroka kajian dan pembangunan (R&D) untuk mencari kaedah terbaik merangka kokurikulum sesuai dan berkesan untuk golongan
itu.

Kita sudah ke arah itu dan jika berjaya dilaksanakan, Pasti Pahang menjadi yang pertama melaksanakannya di negara ini. Setakat ini kita belum melaksanakannya secara menyeluruh
kecuali hanya ada beberapa Pasti yang menerima murid berkeperluan khas ini.

Pelaksanaan juga mengambil kira kekurangan kemahiran guru untuk mengajar kanak-kanak istimewa ini kerana proses pembelajarannya sudah tentu berbeza dan memerlukan tahap
kesabaran amat tinggi.

Bagaimana dengan prestasi Pasti di Pahang?

Kita tak nafikan wujud jurang antara Pasti di negeri ini kerana ada yang mempunyai kemudahan terbaik, prestasi mereka pada tahap tertinggi dan ada juga agak daif.

Namun secara keseluruhannya, prestasi Pasti boleh dibanggakan kerana keputusan akademik murid konsisten.

Setiap tahun kita adakan Hari Anugerah Kualiti dan kecemerlangan Pasti Pahang, tahun ini diadakan di Maahad darul Abrar Bentong, pada 1 Disember lalu.

Pada majlis itu 11 anugerah diberikan meliputi kategori Pengurusan Terbaik, Pengerusi Kawasan Terbaik dan Anugerah 3K (Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan) serta Anugerah Kecemerlangan Pengurus Pasti dengan 14 pengurus terbaik dipilih.

Lebih membanggakan salah satu Pasti di Pahang, Pasti Al Hikmah, Kuantan terpilih sebagai johan dalam Pertandingan 3K Pasti Peringkat Kebangsaan di Port Dickson, Sabtu lepas.

Apakah harapan bagi memastikan Pasti Pahang lebih cemerlang?

Kami nekad memperjuangkan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam ini.

Pada masa yang sama, kita berusaha mewujudkan suasana lebih kondusif di semua Pasti supaya proses pembelajaran dalam keadaan selesa.

Justeru, kita harap ibu bapa, masyarakat dan semua pihak memberi perhatian membantu Pasti yang mungkin agak daif dan perlu penambahbaikan kerana kita beroperasi tanpa peruntukan serta dana tetap.

Selain itu, ibu bapa diminta sentiasa berkomunikasi dan berhubung rapat dengan pengurusan Pasti tempat nak-anak mereka belajar supaya hubungan baik yang terjalin membantu pihak Pasti meningkatkan prestasi masing-masing.

SUMBER

Loading...

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*