“Bersanding Bersendirian Untukmu Abang Bomba”..

gambar sekadar hiasan

“SIAPA yang tidak malu jika terpaksa bersanding sendirian tanpa suami tersayang di sisi, namun sebagai menantu pertama, saya perlu mengenepikan semua itu serta harus kuat demi keluarga.

“Memang diakui, pada awalnya saya memang tidak mahu memakai baju pengantin, tetapi suami ada berpesan, seandainya dia tidak dapat balik, jadilah pengantin seperti biasa kerana saudara mara serta rakan sebelah keluarga mentua ramai yang hadir pada hari kenduri berkenaan,” kata Badriyah Amirullah.

loading...

Wanita kelahiran Johor Bahru itu tiba-tiba menjadi sebutan selepas kisahnya yang bersanding seorang diri sewaktu kenduri menyambut menantu di Teluk Intan, Ahad lalu, tular di media sosial.

Menurut Badriyah, dia dan suami, Mohamad Syaiful Izwan Mohamad Shah, masing-masing berusia 26 tahun, bercinta hampir setahun sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 18 November lalu.

Katanya, kenduri sebelah pihak perempuan diadakan pada hari sama di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, namun majlis di pihak lelaki terpaksa diadakan pada Ahad lalu setelah dipersetujui kedua-dua keluarga.

“Memang kami merancangnya begitu (lewat empat bulan) bagi memudahkan urusan keluarga besar suami yang berada di Terengganu, Kedah dan Perak.

“Pada hujung Disember iaitu selepas sebulan berkahwin, suami mendapat tawaran sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Perasaan saya berbunga riang kerana ketika menemani suami melapor diri di Akademi JBPM di Wakaf Tapai, Terengganu pada 1 Mac, kami dimaklumkan Syaiful akan mendapat pelepasan cuti selama tiga hari dan perlu kembali semula pada pagi Isnin (19 Mac).

“Ingatkan selepas itu tiada masalah dan kami berdua begitu teruja untuk bersanding kali kedua, namun kita hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

BADRIYAH bersama Syaiful pada hari pernikahan mereka, November lalu.

Badriyah yang bekerja sebagai pembantu keselamatan kilang di Johor Bahru berkata, suaminya dijangka menamatkan latihan pada Julai depan sebelum ditempatkan di balai bomba ditugaskan.

Katanya, sewaktu mendapat berita suaminya tidak mendapat pelepasan kerana cuti dibekukan, dia hampir menangis di depan keluarga mentuanya.

“Mujurlah abah dan umi (ibu bapa mentuanya), Mohamad Shah serta Hamimah segera memujuk dan mententeramkan saya supaya bersabar dan kuat daripada segi fizikal dan mental memandangkan semua perancangan untuk majlis sudah siap sepenuhnya.

“Tanpa sokongan keluarga mentua, saya mungkin tidak mampu meneruskan majlis berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata berkata, ketika dia tiba di lokasi majlis (Mini Arena Square, Chenderong Balai, Perak), semua tetamu memandang ke arahnya dan kelihatan tertanya-tanya ke mana pengantin lelaki.

Mujurlah pengacara majlis segera membuat pengumuman bahawa Syaiful tidak dapat hadir atas sebab yang dinyatakan dan tetamu mula kelihatan lega.

“Saya gagahkan diri untuk berjalan di depan orang ramai menuju ke meja makan beradab dan ketika itu hanya tuhan yang tahu perasaan di dalam hati.

“Apapun, saya bertuah kerana abah dan umi sentiasa ada bersama dan semangat merekalah yang menjadi penguat semangat untuk saya meneruskan hingga ke tamat majlis,” katanya.

Sementara itu, Badriyah berkata, dia sekeluarga berharap orang ramai tidak menyalahkan JBPM kerana tidak memberi pelepasan kepada suaminya, sebaliknya melihat kejadian itu dari sudut yang positif.

Katanya, dia memahami kekangan latihan yang perlu dilalui suaminya sebelum menjadi seorang anggota bomba dan menerima semua ketentuan itu dengan hati yang terbuka.

Katanya, setiap yang berlaku ada hikmahnya dan dia sekeluarga gembira kerana rezeki suami dipilih untuk berkhidmat dengan JBPM.

“Saya anggap itu semua sebagai persediaan kerana pada masa depan, siapa tahu mungkin lebih banyak cabaran yang menanti sebagai isteri seorang anggota bomba.

“Apapun, kenangan itu (bersanding sendirian) mungkin tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya yang ketika ini menetap bersama keluarganya di Johor Bahru sementara menunggu suaminya menamatkan kursus.

Sementara itu, tiada cuti atau pelepasan diberikan kepada mana-mana pelatih sepanjang menjalani Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK), Kursus Diploma Sains Kebombaan (KDSK) atau Kursus Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (KDLSK) JBPM.

Namun, Penolong Ketua Pengarah (Bahagian Latihan) JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata, pelepasan akan diberikan bergantung kepada budi bicara Komandan Akademi kepada pelatih untuk kes kecemasan atau kematian ahli keluarga terdekat membabitkan ibu bapa, isteri atau anak.

“Pelatih tidak diberikan cuti kerana kehadiran mereka sepanjang tempoh latihan adalah antara kriteria yang akan diberi penilaian selain disiplin.

“Semua ketetapan berkenaan adalah mengikut keperluan standard MS ISO 9001: 2015 dan turut tercatat dalam peraturan sedia ada.

“Jadi, dalam hal ini, apa-apa pelepasan termasuk untuk berkahwin atau bersanding sekali pun tidak akan diberikan,” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Hamdan berkata, KSSK adalah kursus asas wajib dihadiri untuk pelatih kadet Pegawai Bomba Gred KB19 manakala KDSK untuk kadet Penolong Penguasa Bomba Gred KB29 dan KDLSK bagi pelatih kadet Penguasa Bomba Gred KB41.

Beliau berkata, tempoh KSSK dilaksanakan adalah selama empat bulan setengah manakala KDSK lebih lama iaitu enam bulan dan KDLSK selama sembilan bulan.

“Selepas selesai latihan, pelatih akan ditempatkan di balai bomba yang mempunyai statistik kes kebakaran tertinggi sebagai salah satu latihan dalam program penempatan operasi.

“Semua latihan berkenaan penting sebagai persediaan untuk transformasi pelatih daripada orang awam kepada anggota penyelamat dan daripada zero kepada hero,” katanya.

SUMBER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*