Loading...

29 Jam Terperangkap Dalam Hutan…

GAMBAR SEKADAR HIASAN

KEMAMAN – “Peritnya terperangkap dalam hutan sampai kami terpaksa tadah air bukit yang kotor untuk minum,” kata penyelia tapak pembalakan, Mohd Ghani Ismail, 38, yang terkandas dalam hutan bersama lima pekerjanya selama 29 jam sebelum diselamatkan lewat petang tadi.

Loading...

Keenam-enam mangsa berjaya dibawa keluar dari Hutan Simpan Cerul, di sini, oleh sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh kira-kira jam 6 petang.

loading...

Selain Mohd Ghani, mangsa yang diselamatkan adalah tiga mangsa; William Anak Ligang, 37, adiknya; James Anak Ligang, 33, dan Alister Sinawat Ukul, 23, yang bakal menyambut perayaan Hari Krismis pada 25 Disember depan.

Turut diselamatkan, Ab Sani Abd Khalid, 37, dan Mohd Hariri Hassan, 37 dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan namun kelihatan lesu.

Mohd Ghani berkata, mereka terkandas selepas pacuan empat roda yang dinaiki rosak kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin dan lebih buruk berberapa kawasan dalam hutan itu ditenggelami banjir ekoran limpahan air sungai.

“Lepas Toyota Hilux rosak, kami terpaksa berjalan kaki sejauh 53 kilometer dan semasa berjalan kami kehabisan makanan dan air mineral.

“Jadi kami terpaksa ikat perut dan cuma minum air bukit sebelum terjumpa satu rumah kongsi balak pada jam 1 tengah hari tadi,” katanya.

Katanya, penjaga rumah kongsi itu yang memberi mereka makan nasi berlauk ikan kering dan sardin untuk mengalas perut dan mereka turut menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan kerana kawasan itu di puncak bukit mempunyai liputan telefon bimbit walaupun signalnya lemah.

“Bateri telefon bimbit pun sudah nyawa-nyawa ikan tapi nasib baik masih boleh hubungi bomba. Masa terperangkap itu saya cuma terbayang wajah isteri dan dua anak,” katanya yang berasal dari Jerantut, Pahang dan bekerja di tapak pembalakan sejak 8 tahun lalu.

Sementara itu, William berkata, sebelum tiba di rumah kongsi itu, mereka terpaksa meredah lebih empat batang sungai.

“Setiap batang sungai itu kami terpaksa tunggu limpahan air surut sebab bahaya untuk kami redah air sungai yang dalam.

“Saya juga risau kalau keluar lewat dari hutan, saya akan terlepas penerbangan untuk balik kampung di Sarawak pada jam 10 pagi esok untuk sambut Krismas,” kata bapa kepada dua anak itu.

Dalam pada itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu (JBPM), Azmi Ab Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2 petang sebelum 10 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.

“Operasi mengeluarkan kesemua mangsa memakan masa kira-kira tiga jam, iaitu kami ambil masa selama sejam setengah untuk menaiki bot ke tempat rumah kongsi itu dan terpaksa mengharungi perjalanan balik selama sejam setengah lagi.

“Kami masuk dengan kekuatan sebuah bot bersama empat pegawai dan anggota dengan bantuan dua penduduk kampung yang tahu selok belok hutan di sini,” katanya.

Berikutan insiden itu, Azmi menasihatkan kepada pengusaha kawasan pembalakan supaya memantau pekerja mereka terutama semasa hujung tahun ekoran musim tengkujuh.

“Kita nasihatkan agar pekerja-pekerja dikeluarkan awal untuk elakkan kes sebegini berlaku,” katanya.

SUMBER

Loading...

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*